Tujuan blog Kenali Syiah adalah untuk memperkenalkan pengajaran Ahl al-Bayt (Syiah) dalam Bahasa Melayu.

Tuesday, April 24, 2012

Apakah Maksud Syiah?



Dan berpegang teguhlah, kamu semuanya, kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai (Ali-Imran:103)
Apakah maksud syiah?

Perkataan "syiah" adalah satu kata sifat yang digunakan oleh orang-orang Islam yang mengikut imam-imam daripada keluarga Rasulullah (s.a.w.) iaitu ahlul bait. Ianya telah digunakan sebelum munculnya perkataan ahlussunnah, salafi atau istilah-istilah lain.

Istilah syiah di dalam al-Qur'an

Perkataan "syiah" memberi makna “pengikut” atau “ahli bagi suatu golongan”. Allah menyebut dalam Al-Qur'an tentang beberapa orang daripada hamba-hamba-Nya merupakan syiah bagi hamba-hamba saleh-Nya yang lain.
Dan sesungguhnya Ibrahim adalah tergolong dari syiahnya (Nuh) (As-Saaffaat: 83)

Dan dia (Musa) pergi ke bandar pada ketika orang-orangnya (bandar itu) tidak melihat, ia menjumpai di dalamnya dua lelaki sedang bertengkar, seorang merupakan syiahnya dan seorang lagi merupakan musuhnya, orang yang merupakan syiahnya berteriak kepadanya memohon pertolongan untuk menghadapi musuhnya itu.
(Al-Qasas:15)

“Syiah” seperti yang ditunjukkan di atas adalah perkataan khusus yang digunakan oleh Allah di dalam al-Qur'an untuk rasul-rasulNya yang bermartabat tinggi berserta pengikut-pengikut mereka.

Sekiranya seseorang itu menjadi syiah (pengikut) kepada hamba yang saleh, maka tidak salah untuk menjadi syiah. Sebaliknya, jika seseorang itu syiah kepada pemerintah zalim atau orang yang melakukan kejahatan, maka dia akan mendapat balasan yang sama dengan orang yang diikutinya. Al-Qur'an menceritakan bagaimana manusia akan dibangkitkan secara berkumpulan pada Hari Kebangkitan, dan setiap kumpulan atau golongan akan mempunyai ketuanya (Imam) di hadapannya. Allah berfirman:

(Ingatlah) pada Hari di mana Kami akan memanggil setiap orang dengan Imamnya (Al-Israa’:71)
Pada Hari Kebangkitan, balasan "pengikut" setiap kumpulan bergantung kepada Imam mereka (dengan syarat mereka mengikut Imam mereka dengan bersungguh-sungguh). Allah menjelaskan di dalam al-Qur'an bahawa ada dua jenis Imam:

Dan Kami jadikan mereka Imam yang memanggil kepada api, dan pada Hari Kebangkitan mereka tidak akan ditolong. Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini, dan pada Hari Kebangkitan mereka akan disingkirkan dengan sehina-hinanya.
(Al-Qasas:41-42)

Al-Qur'an juga mengingatkan bahawa adanya Imam yang dilantik oleh Allah sebagai pemberi petunjuk untuk sekelian manusia:

Dan Kami jadikan dikalangan mereka Imam-imam untuk memberi petunjuk melalui perintah Kami apabila mereka sabar, dan yakin kepada ayat-ayat keterangan Kami.
(Al-Sajdah:24)

Sesungguhnya, pengikut-pengikut (syiah) sebenar Imam-imam ini akan meraih kejayaan pada Hari Kebangkitan.

Istilah syiah didalam Hadith


Sepanjang sejarah Islam, "syiah" telah digunakan untuk pengikut Imam 'Ali (a.s). Ia bukanlah merupakan satu istilah yang dicipta kemudian! Orang pertama yang menggunakan istilah ini adalah Rasulullah (s.a.w.) sendiri. Apabila ayat berikut diturunkan:

(Bagi )mereka yang beriman dan melakukan amal saleh, sesungguhnya merekalah makhluk terbaik (Qur'an 98:7)
Rasulullah (s.a.w.) bersabda kepada Ali: "Ia adalah untuk kamu dan syiahmu."

Baginda menambah: "Aku bersumpah dengan Dia yang memegang nyawaku bahawa lelaki ini (Ali) dan syiahnya akan mendapat kejayaan pada Hari Kebangkitan."

● Jalal al-Din al-Suyuti, Tafsir al-Durr al-Manthur, (Kaherah) Jilid. 6, ms. 379
● Ibn Jarir al-Tabari, Tafsir Jami' al-Bayan, (Kaherah) Jilid. 33, ms. 146
● Ibn Asakir, Tarikh Dimashq, Jilid. 42, ms. 333, ms. 371
● Ibn Hajar al-Haythami, al-Sawa'iq al-Muhriqah, (Kaherah) Bab 11, Bahagian 1, ms. 246-247

Rasulullah (s.a.w.) bersabda: "Wahai Ali! (Pada Hari Pembalasan) kamu dan syiahmu akan datang menghadap Allah (dalam keadaan) disukai dan menyukai, dan akan datang kepadaNya musuh-musuhmu dalam keadaan marah dan degil.

● Ibn al-'Athir, al-Nihaya fi gharib al-hadith, (Beirut, 1399), Jilid. 4 ms. 106
● al-Tabarani, Mu'jam al-Kabir, Jilid 1 ms. 319
● al-Haythami, Majma' al-Zawa'id, Jilid. 9, nombor 14168

Rasulullah (s.a.w.) bersabda : "Khabar gembira wahai Ali! Sesungguhnya Kamu dan syiahmu akan berada di dalam syurga."

● Ahmad Ibn Hanbal, Fadha'il al-Sahaba, (Beirut) jilid. 2, ms. 655
● Abu Nu'aym al-Isbahani, Hilyatul Awliya, jilid. 4, ms. 329
● al-Khatib al-Baghdadi , Tarikh Baghdad, (Beirut) jilid. 12, ms. 289
● al-Tabarani, Mu'jam al-Kabir, jilid. 1, ms. 319
● al-Haythami, Majma' al-Zawa'id, jilid. 10, ms. 21-22
● Ibn 'Asakir, Ta'rikh Dimashq, jilid. 42, ms. 331-332
● Ibn Hajar al-Haythami, al-Sawa'iq al-Muhriqah, (Kaherah) Bab. 11, Bahagian 1, ms. 247

Bagaimana mungkin Rasulullah (s.a.w.) menggunakan satu istilah yang bersifat memecah-belah?

Adakah Nabi Ibrahim (a.s.) seorang yang memecah-belah? Bagaimana dengan Nabi Nuh (a.s.) dan Nabi Musa (a.s.)? Sekiranya syiah merupakan satu istilah yang bersifat sektarian atau memecah-belah, sudah tentu Allah tidak akan menggunakan istilah ini untuk Nabi-nabi-Nya yang bermakam tinggi dan Nabi Muhammad (s.a.w.) tentu tidak akan memuji mereka.

Perlu diingatkan bahawa Rasulullah (s.a.w.) tidak pernah ingin untuk memecah-belahkan kaum Muslimin kepada kumpulan-kumpulan tertentu. Baginda memerintahkan semuanya untuk mengikut Imam Ali (a.s.) sebagai wakilnya pada masa hayatnya, dan sebagai Pewaris dan Khalifah selepasnya. Malangnya mereka yang mengikut suruhan Rasulullah ini hanya sedikit dan dikenali sebagai "syiah Ali". Mereka dikenakan pelbagai bentuk penindasan dan kezaliman, dan menderita semenjak hari Nabi Muhammad (s.a.w.) wafat. Sekiranya semua kaum muslimin patuh kepada suruhan Rasulullah, sudah pasti tidak akan wujud banyak kumpulan dan pelbagai mazhab dalam Islam sebagaimana sekarang. Di dalam sebuah hadis, Rasulullah (s.a.w.) bersabda:

"Selepas dariku perpecahan dan kekacauan akan muncul di kalangan kamu, apabila situasi ini berlaku, pergilah cari Ali kerana beliau boleh memisahkan di antara Kebenaran dari Kepalsuan."

● Ali Muttaqi al-Hindi, Kanz al-'Ummal, (Multan) jilid. 2 ms. 612, nombor 32964

Mengenai ayat Qur’an di atas, beberapa ulama Ahlussunah meriwayatkan sebuah hadis daripada Imam Ja'far al-Sadiq (a.s.), Imam keenam syiah daripada keluarga Rasulullah (ahlul bait), bahawa:

"Kamilah tali Allah yang dimaksudkan oleh firman Allah : Dan berpegang teguhlah, kamu semuanya, kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.

● al-Tha'labi, Tafsir al-Kabir, pada tafsir surah Ali-Imran ayat 103
● Ibn Hajar al-Haythami, al-Sawa'iq al-Muhriqah, (Kaherah) Bab. 11, bahagian 1, ms. 233

Oleh itu, sekiranya Allah menentang mereka yang taksub, Allah juga menentang mereka yang menjauhkan diri daripada tali-Nya, dan bukannya kepada mereka yang berpegang teguh kepadanya!

Kesimpulan:
Kami telah menunjukkan bahawa istilah syiah telah digunakan di dalam al-Qur'an untuk pengikut-pengikut kepada hamba-hamba Allah yang mulia, dan di dalam hadis sebagai pengikut Imam Ali (a.s.). Seseorang yang mengikut seorang pemimpin yang telah dilantik oleh Allah adalah selamat daripada sebarang salah-faham di dalam agama dan telah berpegang kepada tali Allah yang kukuh dan diberi khabar gembira daripada syurga.

2 comments:

  1. semoga diberkati Allah usaha ni

    ReplyDelete
  2. Adakah ataupun betulkah engkau menyembah Allah, hanya Allah, semasa engkau melakukan solat ataupun membaca surah Fatihah? Apakah sebenarnya erti sembah ataupun menyembah? Janganlah sesat tak sedar diri. Dan wahai kafir, tidak aku sembah siapapun yang engkau sembah: Allah, hanya Allah, adalah yang aku sembah, yakni pertuankan, juga perajakan; dan kepada Allah aku menyerah diri. www.filopu.blogspot.com

    ReplyDelete